Tuesday, 15 April 2014

Anxiety

DEFINISI ANZIATI /KEBIMBANGAN

Pelbagai tafsiran telah diberikan oleh ahli-ahli psikologi dan pakar-pakar dalam bidang sukan tentang istilah kebimbangan. Walaupun pelbagai interpretasi telah dikemukakan, namun tidak tedapat banyak perbezaan dari segi maksudnya.


Kebimbangan adalah antara aspek mental yang perlu diberi perhatian bagi memahami tingkahlaku individu dalam meningkatkan prestasi mereka (Tajul Ariffin, Ruslin Amin dan Zamri Mohamad, 2004). 

Kebimbangan dilihat sebagai suatu keadaan negatif yang boleh memberi kesan kepada prestasi atlet (Weinberg dan Gould, 2007). Menurut Wann (1997), kebimbangan akan wujud bila individu mula meragui kemampuannya dalam mengawal situasi yang menyebabkannya merasa tertekan.



Kebimbangan boleh menjadi suatu fenomena asas dan masalah sebenarnya ialah keadaan (situasi). 



Vasudevan (1989), mendefinisikan kebimbangan sebagai suatu keadaan di mana wujud perasaan takut atau gementar pada orang yang menpunyai pertalian dengan diri kita.




Kebimbangan dalam sukan berpunca daripada pelbagai sumber seperti manusia lain, tugasan dan persekitaran dan ia bukan sahaja dialami oleh atlet tetapi juga oleh jurulatih, ibu bapa, penonton dan orang ramai.


Cox (2002) mendefinisikan kebimbangan sebagai pengertian perasaan yang subjektif dan peringkat ‘arousal’ secara mendadak. Atlet yang mengalami perasaan kebimbangan sebelum dan semasa pertandingan mungkin akan mengalami peningkatan tahap ‘arousal’ dan merasa ketegangan pada tubuh. 


PERANAN JURULATIH KETIKA MENJELANG PERTANDINGAN



Jurulatih atau ketua pasukan tidak akan dapat menyelami hati dan pemikiran setiap ahli pasukannya untuk mengajak mereka berfikir dengan cara tertentu. Setiap pemain mempunyai pendekatan tersendiri ketika menghadapi pertandingan. Oleh itu, adalah mustahil untuk mengajak setiap individu dalam memikirkan atau merasakan sesuatu dengan cara yang sama untuk menghadapi pertandingan. Sesetengah atlet, khususnya atlet elit lebih suka membuat persiapan mentalnya dengan cara sendiri. Sesetengah atlet mungkin lebih suka cara berasingan, manakala sesetengahnya pula lebih suka berkumpulan atau sama ahli lain dalam pasukan.

Jurulatih juga boleh memainkan peranannya untuk membantu atlet mendapatkan kembali jiwa mereka. Biarpun anziati dan kebangkitan lazimnya tidak dapat dikenal pasti dan berlainan teknik rawatan, tetapi yang pasti setiap satu boleh ditangani dengan caranya tersendiri. Beberapa pendekatan psikologi boleh digunakan bagi tujuan meredakan situasi mental seperti ini.

1. Melepas tekanan dan anziati dengan lakukan aktiviti fizikal





Atlet memerlukan sedikit anziati sebelum pertandingan kerana ia akan membantu seseorang atlet agar lebih bersedia. Atlet perlu digerakkan, jika tidak mereka akan rela berdiam diri (sedentary) dengan tidak melakukan apa-apa. Hasilnya mereka menjadi kaku dan sukar melakukan pergerakan-pergerakan lazim. Jurulatih perlu menyarankan atlet dengan pergerakan-pergerakan yang tangkas kerana ini akan membangkitkan fisiologi mereka.

Anshel (1997) menyatakan bahawa pergerakan-pergerakan yang tangkas akan merehatkan mental atlet kerana tekanan ke atas pemikiran dipindahkan kepada tekanan fizikal. Menurut morgan (1979) teknik pengurangan tekanan seperti ini berkesan ke atas atlet yang mengalami anziati tahap tinggi. Beliau juga menekankan bahawa permainan yang mempunyai tahap kebangkitan yang rendah seperti golf, lawan pedang, maraton atau tenis memerlukan aktiviti fizikal yang ringan berbanding permainan yang tahap keperluan tenaga tinggi seperti bola sepak, gusti atau ragbi.

Namun, berkemungkinan perlakuan fizikal yang berlebihan, khususnya semasa sesi pemanasan badan akan menjejaskan prestasi keseluruhan. Sesetengah atlet kelihatan seperti telah kehabisan tenaga sedangkan pertandingan belum pun bermula. Jurulatih perlu peka dengan keperluan seperti ini.

2. Elak menggunakan ungkapan relaks atau seumpamanya


Kecenderungan jurulatih menyebutkan ungkapan “rehat” atau “relaks” kepada atlet, khususnya sejurus sebelum memulakan pertandingan boleh menimbulkan atau merangsang anziati atlet. 

Mungkin tujuan jurulatih adalah baik iaitu untuk membantu atlet, tetapi sebaliknya tindakan itu oleh menimbulkan pelbagai tanggapan negatif di benak atlet.

Tindakan jurulatih ini sebenarnya sebenarnya akan meningkatkan lagi tekanan ke atas atlet yang sememangnya penuh dengan debaran dan perasaan anziati yang membuak-buak.

 Usaha jurulatih ini mungkin boleh menghasilkan kecelaruan.
Sesetengah atlet memerlukan tekanan pada tahap tertentu bagi menghadapi pertandingan. Itu ialah cara mereka. Namun, jika jurulatih dengan tiba-tiba meminta atlet untuk bertenang atau relaks, akan terbentuk satu situasi lain yang bertentangan dengan kehendak atlet itu. Lebih baik jika jurulatih tidak berkata apa-apa daripada mengeluarkan kata-kata yang cuba mengubah situasi pemikiran atlet yang telah menyediakan iklim pemikiran mereka sendiri.

3. Elak daripada membincangkan rekod atau pencapaian pasukan.


Keghairahan memikirkan rekod dan pencapaian pasukan akan hanya mengurangkan penumpuan dan meningkatkan anziati. Mengimbas kembali sama ada rekod-rekod kekalahan atau cubaan untuk mengekalkan rekod kemenangan merupakan sesuatu yang merugikan, malah tidak produktif. Apa yang terbaik ialah menumpukan kepada prestasi dan bukan ke atas hasilan, dan kemenangan akan terurus dengan sendirinya.

4. Bina keyakinan diri dan jangkaan yang realistik


Anziati meningkat jika atlet itu berasa tidak selamat, kurang keyakinan diri, dan terancam oleh persepsinya terhadap pertandingan. Jurulatih boleh membina dan meningkatkan keyakinan diri atlet berdasarkan maklumat-maklumat yang bersesuaian yang mengaitkan prestasi, bukan ungkapan yang biasa yang telah muak didengar seperti “ awak akan lakukan yang terbaik!” Dan lain-lain.
Jurulatih juga boleh membicarakan perkara-perkara seperti kekuatan atau kelebihan atlet, kelemahan-kelemahan lawan, strategi permainan yang telah dirancangkan terdahulu ataupun gambaran yang menunjukkan jurulatih yakin akan kemampuan atlet sambil membina pemikiran positif untuk mengurangkan pemikiran negatif.






TATACARA MENGURUS ANZIATI ATLET


1. Fikirkan latihan


Atlet boleh mengalami anziati yang keterlaluan jika terlalu memikirkan tentang pertandingan. Menurut anshel (1997), satu cara terbaik mengatasi situasi ialah “fikirkan latihan” di mana atlet menggambarkan situasi pertandingan yang sedang dihadapi sama seperti semasa dia berlatih kerana ketika berlatih, atlet berada dalam keadaan yang tenang dengan persekitaran yang aman.

Melalui “fikirkan latihan” secara tidak langsung badan dapat membezakan rangsangan yang tulen dan rangsangan yang digambarkan. Oleh itu, ia akan membantu atlet mengawal anziati yang keterlaluan. Selain itu, jurulatih boleh menggunakan tayangan video yang menggambarkan kejayaan kepada atlet agar atlet boleh dirangsang untuk berjaya, fikirkan positif dan dalam kewajaran. Pemikiran yang dibekalkan dengan corak positif adalah lebih baik daripada dibekalkan dengan ketakutan dan negatif. Semua ini secara tidak langsung akan mengawal anziati atlet.

2. Terus aktif


Menurut morgan (1979) , penglibatan dalam aktiviti fizikal yang aktif dapat mengurangkan anziati dan ia merupakan salah satu tujuan mengapa aktiviti memanaskan badan dilakukan sebelum menjalani sesuatu aktiviti sebenar. Aktiviti-aktiviti fizikal yang aktif dapat
  1. Menyediakan “laluan keluar” untuk emosi-emosi yang semakin tinggi tahapnya seperti anziati, kebangkitan, tekanan dan lain-lain.
  2. Mengalihkan tumpuan atlet kepada aspek luaran daripada asyik memikirkan perasaan dalaman yang tidak menentu.

3. Strategi kognitif


Anziati yang melanda atlet boleh juga diurus secara berkesan dengan mengurangkan kaedah-kaedah kognitif yang telah dikenal pasti kemampuannya. Antara kaedah-kaedah berkesan yang boleh digunakan ialah gambaran mental (mental imagery), teknik-teknik relaksasi, pembekuaan fikiran (thought stopping), bicara kendiri positif, meditasi dan lain-lain.
Berbeza dengan kemahiran perlakuan sukan, strategi kognitif merupakan kemahiran yang memerlukan latihan yang agak panjang untuk mencapai tahap penguasaan yang mapan. Atlet perlu yakin akan keberkesanan latihan mental yang dijalani dan mengamalkannya.

4. Positifkan senario pahit yang pernah dilalui


Bersukan seharusnya menggembirakan, memberi kepuasan, dan keseronokan. Atlet tidak seharusnya terus dibelenggu oleh kenangan silam yang mungkin memalukan atau dikesalkan. Begitu pun, kekalahan bukanlah penamat kepada segala penglibatan dan kerjaya sukan. Mengenang kembali senario pahit yang pernah dialami ialah gambaran bahawa”….. Segala-galanya adalah mungkin…..” Dan ia menimpa semua individu.

Senario pahit bagi kebanyakan atlet ialah aksi yang hambar dan kekalahan dalam pertandingan. Bagaimanapun. Kalah bukan bermakna gagal. Banyak yang boleh dipelajari daripada kekalahan atau pengalaman pahit ketika bertanding. Setidak-tidaknya atlet dapat melihat kemahiran diri-sendiri dan pihak lawan serta menerima hakikat bahawa keputusan pertandingan bukanlah sesuatu yang dapat dikawal. Mengimbas kembali senario pahit yang pernah dialami merupakan latihan gambaran mental yang baik sekiranya dilihat dari sudut positif.

MENGUKUR DAN MENYELIA ANZIATI


Model Lazarus dan Folkman (1984), menyatakan bahawa pertimbangan tekanan (stress appraisal) akan dapat mendedahkan perbezaan maklum balas somatik dan mental yang positif atau maklum balas yang langsung tidak berkaitan.

Pertimbangan tekanan boleh dianggapkan sebagai gangguan atau kekalahan, ancaman ataupun cabaran. Celaan-celaan jurulatih ketika ini menghasilkan anziati, khususnya apabila celaan yang dikaitkan dengan konsep penghargaan kendiri seseorang atlet (Maslow, 1962, dlm .Reeve, 1992).

Dalam sukan, jurulatih dan atlet boleh bekerjasama untuk menguruskan anziati stet pada tahap yang bersesuaian ke arah menjana prestasi cemerlang. Bagi merealisasikan ini, anziati perlu diukur dan dikawal selia secara berkesan menggunakan pendekatan-pendekatan berikut:

1. Pendekatan pikologi


Pendekatan ini lazimnya melibatkan penggunaan kertas pensil untuk memberikan respons kepada soal selidik yang digunakan. Kebanyakan soal selidik yang digunakan bagi tujuan pengukuran anziati mempunyai kesahan dan kebolehpercayaaan yang tinggi dan menjadikan ia seakan suatu piawai (Anshel, 1997, dlm. Ostrow,1991).

Spielberger’s State Trait Anxiety Inventory (STAI) merupakan instrumen yang baik untuk mengukur tetapi jarang digunakan dalam kajian-kajian psikologi kebelakangan ini kerana instrumen ini mengukur tentang apa yang dirasa oleh atlet dan bukannya berkaitan atau tentang sesuatu (Martens, 1990). Lagipun , banyak alat ukur baru yang diperkenalkan yang lebih efisien, misalnya CSAI-2 (Martens et al.,1990).

Anziati kronik boleh diukur menggunakan Sports Competition Anxiety Test (SCAT)(Martens et al,.1990) dan akhir-akhir ini pengukuran anziati cenderung menggunakan SAS (Smith, et. al.1990). Hal ini kerana ia boleh mengukur komponen kognitif dan komponen somatik ke atas atlet. Smith et. al. Menyatakan bahawa anziati kognitif dan somatik mempunyai kesan yang berbeza-beza ke atas prestasi atlet.

2. Pendekatan fisiologi


Anziati somatik jarang diukur secara fisiologikal dengan ukuran tertentu melainkan CSAI-2 dan SAS. Hal ini kerana;
  1. Tiada respons terhadap anziati kekal (stet)( sonstroem, 1984)
  2. Anziati hanya dilihat sebagai perasaan, iaitu persepsi atau pertimbangan seseorang terhadap situasi. Respons somatik yang paling mudah dikesan (degupan jantung) boleh memberi gambaran gangguan atau cabaran.
  3. Perkaitan antara dua pemboleh ubah dalam pengukuran anziati dati aspek fisiologi sentiasa sangat rendah.
  4. Keupayaan sistem saraf antara individu adalah berlainan.

Hacfort dan Schwenkmezger (1989) menyatakan bahawa pertambahan kadar degupan jantung akan melibatkan kedua-dua aspek emosi anziati dan tindak balas kegembiraan atau kemarahan.

3. Pendekatan tingkah laku


Kebanyakan individu cenderung bertindak dengan cara tersendiri yang ada ketikanya agak ganjil kepada individu lain apabila berhadapan dengan situasi yang menekan. Perlakuan seperti menyentak, mundar-mandir, kerap membuang air dan mempamerkan sikap amarah tak menentu merupakan contoh biasa atau individu yang sedang mengalami anziati.
Pengukuran anziati melalui pendekatan tingkah laku ini agak subjektif kerana ia berdasarkan interprestasi pemerhati sendiri. 

Martens (1975) menyatakan SCAT dapat memberikan jangkaan yang lebih baik ke atas anziati kompetitif berbanding dapatan yang diperoleh melalui interprestasi pemerhati.
Hanson dan gould (1998), menjalankan kajian untuk mengenal pasti keupayaan jurulatih menjangka tahap anziati berubah dan anziati kronik (tret) atlet mereka. Dapatan kajian menunjukkan kebanyakan jurulatih sangat peka ke atas tahap anziati atlet masing-masing dan sentiasa menanganinya dengan cara yang berkesan. Petunjuk dan tanda-tanda untuk mengesan seseorang sama ada sedang dilanda anziati atau tidak ialah berdasarkan tahap komunikasi dan corak tingkah lakunya.


No comments:

Post a Comment